"Mummy, kenapa mummy tak pakai tudung eh?"
Pertanyaan anak aku yang berusia 10 tahun yang menyebabkan dirinya ditengking oleh aku. Dan kerana kejadian itulah anak aku tak berani untuk menegur aku tentang perihal aurat. Itulah sejarah lampauku yang sampai sekarang aku masih bersyukur ke atas Ilahi yang telah memberikan aku jalan keluar dari tempat yang gelap dan menyesatkan.
Aku dulu seorang wanita yang agak liar, beranak dua dan bersuami yang sungguh cool dan sporting. Wajah aku jelita dan rambut aku perang bagai mat saleh. Dulunya aku seorang wanita yang 'tahu' Islam adalah pegangan hidupku. Tetapi aku tidak meyakininya dan tidak pula mengamalkannya.
Aku seorang kaya yang sering menukar kereta. Daripada Honda ke Chevrolet, daripada Toyota ke BMW. Almari aku tak payah cakaplah. Gucci, Louis Vuitton, Prada, Alexander, Victoria Secret dan macam-macam lagi. Setakat perfume DKNY dan j'Adore yang berharga lebih kurang RM400 aku boleh beli dengan sebilas kad kredit pada slot mesinnya.
Suami aku dan aku tak pernah kedekut. Tanyalah mana-mana adik beradik aku yang miskin keparat. Semuanya pernah pakai baju branded yang aku belikan untuk mereka. Tanyalah mereka siapa yang tolong anak mereka ke universiti, siapa yang tolong hantar mereka keluar bekerja pada waktu pagi dan mengambil mereka pulang pada lewat petang. Aku dan suami aku.
Tapi itu dululah. Sekarang aku diuji kasih oleh Allah SWT dengan kesempitan hidup. Tak sangka dengan parasit plastik berbentuk kad itu telah menyebabkan hidup aku berubah 180 darjah. Tak sangka sekarang aku memotong kupon-kupon promosi untuk dapatkan potongan harga rendah bagi makan pagi, petang dan malam. Tak sangka sekarang aku terpaksa mengikat perut untuk membiayai anak-anak aku di asrama dan universiti. Tak sangka suami aku sudah mengalami kesakitan di kakinya sepanjang hari, dan tak sangka aku pula yang sakit dimamah usia.
Aku bersyukur. Aku bersyukur sebab aku menemui dan merasai kasih, sayang dan cinta Allah terhadapku. Tanpa ujian itu maka tidak mungkin aku akan berubah seperti sekarang.
Pada awal aku diuji oleh Allah, aku juga seperti orang lain. Mencari-cari makna hidup dan jalan keluar daripada kesesakan hidup ini. Hidup kami agak tegang dan hangat. Aku sering berasa bersalah apabila anak-anak aku kata yang mereka teringin untuk makan KFC dan The Chicken Rice Shop yang dulunya adalah makanan harian mereka. Aku teringat lagi anak sulungku menangis di dalam kereta disebabkan aku kata yang aku mahu belikan seluar jeans adiknya di pasar malam. Aku kesian melihat anak bongsuku yang hanya mewarisi pakaian dari abangnya kerana aku tidak mampu untuk beli yang baru.
Aku menangis seorang diri. Kadangkala di bahu suami aku. Aku masih tak sedar bahawa Tuhan itu wujud. Aku tertanya-tanya kenapa hidup aku berubah seperti ini. Kami berdua hampir lemah dan punah dengan ujian itu.
Di saat aku mencari-cari, pada ketika itulah Allah mengakhiri dilemaku. Pada suatu hari, anak saudaraku yang belajar di luar negara bercerita tentang soal agama di Facebook. Aku meringankan dan merajinkan diri aku untuk baca walaupun aku agak rimas dengan perihal agama.
Ternyata ianya mampu mengubah hidupku. Aku mula bersujud dan mula menadah tangan demi pertolonganNya. Aku dapat merasai perubahan diriku sedikit demi sedikit. Walau bagaimanapun aku tetap hidup susah. Masih miskin, free hair dan masih berfesyen ala-ala wanita Barat. Cuma aku terasa sungguh tenang dan ringan. Aku cuba melapangkan dadaku untuk menyambut kedatangan Allah ke dalam hidup aku.
Bersambung...